Sebanyak 167 tadika di seluruh negara bagi program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal menerima subsidi kanak-kanak sebanyak RM10.8 juta yang diperuntukkan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk R Ramanan, pemberian subsidi melibatkan pembayaran yuran bulanan kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau B40.
Ujarnya, program terbabit merupakan salah satu daripada 12 inisiatif khas yang MITRA bagi tahun ini.
“Subsidi sebanyak RM200 setiap bulan ini akan diberikan selama setahun kepada 4,441 kanak-kanak terpilih yang merangkumi pembiayaan yuran tadika dan sarapan.
“MITRA juga sudah melakukan proses saringan berdasarkan panduan tertentu bagi memastikan kanak-kanak kumpulan B40 mendapat bantuan subsidi ini.
“Selain itu kita juga akan memastikan proses penyaluran dilakukan dengan terurus dan terancang. Tindakan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Senarai penerima bantuan geran tadika ini akan dipaparkan di laman rasmi MITRA,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh juga melakukan lawatan ke Tadika Cinta Ilmu Bakti di Apartment Harmoni, Damansara Damai bagi meninjau dan pelaksanaan program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta.
Hadir sama dalam sesi lawatan itu ialah Pengerusi Tadika Cinta Ilmu Bakti, K Balakrishnan.
Melalui program subsidi itu, Tadika Cinta Ilmu Bakti akan menerima geran sebanyak RM72,000 dalam tempoh setahun membabitkan 30 kanak-kanak.