Negeri

Guru besar pilih syarikat isteri bekal peralatan sekolah kena dakwa

Guru besar sebuah sekolah di Tanah Merah didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bahru, Kelantan atas 10 pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan.

Kejadian yang berlaku 10 Januari 2021 hingga 5 Julai 2022 berjumlah RM8,032.30,

Zailani Harun, 56, didakwa di hadapan Hakim Dazuki Ali mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, namun mengaku tidak bersalah.

Tertuduh dikatakan menyalahgunakan jawatan untuk mendapat suapan dengan memilih syarikat milik isterinya bagi pesanan berhubung pembekalan peralatan sekolah, termasuk pejabat sekolah dianggarkan antara RM290 hingga RM1,026 sekali gus menjadikan angka keseluruhan RM8,032.30.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zailani bagaimanapun merayu jumlah jaminan RM10,000 dimohon pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan dia sudah berkhidmat selama 33 tahun dan mempunyai empat anak masih bersekolah serta menjaga ibu bapa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes. Zailani kemudian membayar ikat jamin ditetapkan.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close