Global

Hubungan Malaysia-China bidang penghasilan kandungan, keselamatan siber diperkukuh – Fahmi

Hubungan dua hala Malaysia-China termasuk dalam bidang penghasilan kandungan dan keselamatan siber bakal diperkukuh, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Menurut Fahmi, kedua negara akan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan itu.

Pada sidang media selepas merasmikan Minggu Media Asean-China kelima di sini Putrajaya pada Sabtu, Fahmi berkata Malaysia dan China telah memeterai MoU dalam bidang telekomunikasi pada September tahun lepas, namun terdapat beberapa aspek lain yang boleh diwujudkan persefahaman termasuk dalam bidang penghasilan kandungan dan keselamatan siber.

“Mesyuarat dua hala telah diadakan dan beberapa perkara dibincangkan termasuk langkah kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam beberapa bidang termasuk pembikinan kandungan atau co-production yang memberi fokus kepada kandungan juga menarik minat pelancong China terhadap Malaysia,“ katanya.

Beliau turut memberitahu, mesyuarat dua hala diadakan itu membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang media, penyiaran, pertukaran berita dan industri kreatif.

Dalam sidang media sama, Fahmi turut memaklumkan telah dijemput untuk mengadakan lawatan kerja ke Beijing bagi bertemu rakan sejawatnya serta beberapa pihak termasuk syarikat induk yang mengusahakan platform media sosial TikTok di China.

“Saya mengalu-alukan pelawaan itu dan percaya dapat membantu kita memahami beberapa perkara berkaitan aplikasi TikTok termasuk TikTok Shop. Kita akan bincang (dengan China) apa yang boleh kita lakukan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close