Sedar ada risiko, PM kekal pendirian bela nasib Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bertegas dengan pendiriannya mengkritik tindakan zalim tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika hadir sesi lawatan kerja dua hari sempena menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi.

Anwar berkata, meskipun menyedari tindakan itu akan mengundang risiko terutama reaksi balas beberapa negara Barat, namun beliau tetap dengan keputusannya.

“Saya tak ada pilihan bila isu diplomasi boleh kita lunakkan, tapi dalam masa yang sama ada kesengsaraan (di Gaza), dengan pembunuhan melibatkan nyawa anak kecil dan wanita.

“Betul (ada) risiko, tapi kebimbangan kita ialah apa sedang dihadapi oleh rakyat Palestin,” jelasnya memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Anwar turut akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia agar mengambil tindakan tegas dengan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Saya sempat berbincang dengan negara ASEAN, Raja Bahrain, (Hamad bin Isa bin Salman), Raja Emeriah Arab Bersatu (Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan) dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed bin Salman.

“Saya juga akan berlepas dari Riyadh untuk berjumpa Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turkiye) dan Abdel-Fattah al-Sisi (Presiden Mesir).

“Semua dapat kata sepakat dan penyelesaian isu Palestin ini kita tak mahu buat sendirian. Kita akan bincang dengan mereka dan saya sudah menelefon ramai pemimpin negara lain supaya harus ada kesepakatan dalam membuat keputusan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat