Anwar, Erdogan fokus isu kemanusiaan Palestin

Pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin di Istambul pada Ahad memberi fokus kepada permasalahan kemanusiaan yang mengakibatkan ribuan nyawa warga Palestin terkorban.

Perbincangan selama hampir dua jam itu bermula sekitar 3 petang (waktu tempatan) turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara.

“Kami menyentuh secara terperinci mengenai hak warga Gaza yang terus dinafi oleh Israel.

“Babak ini tentunya mengesankan tidak hanya Palestin, tetapi juga rantau timur tengah dan dunia tatkala perkembangan di sana tidak semakin baik malah memburuk dengan tindakan rakus Israel. Oleh itu beberapa aspek seperti keselamatan dan pertahanan turut disentuh diberi penekanan serta dibincangkan.

“Malaysia menyambut baik pembukaan koridor kemanusiaan di pintu masuk Rafah-Semenanjung Gaza sejak semalam. Malaysia bersedia bekerjasama dengan Turkiye serta negara-negara sehaluan bagi mencari titik noktah kepada isu penindasan ke atas warga Palestin,” kata Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan perbagai isu termasuk perdagangan, kerjasama ekonomi, hubungan dua hala dan sebagainya.

Sebelum itu, Anwar turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, dan Pengarah National Intelligence Organisation Turkiye Ibrahim Kalin.

Tambah Anwar, Malaysia juga tidak berganjak daripada pendiriannya dalam mengutuk sikap hipokrit negara-negara Barat melibatkan isu Palestin.

“Kami turut sependapat dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk dalam ekosistem pertahanan,” ujar Anwar merumuskannya sebagai acara terakhir lawatan kerja selama dua hari ke Turkiye.

Anda Mungkin Berminat