Penunggang motosikal meninggal dunia dirempuh remaja 14 tahun

Seorang wanita yang menunggang motosikal bersama kakaknya meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh oleh remaja berumur 14 tahun dalam satu kejadian di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar pada Ahad.

Mangsa, Nur Syafiqah Abdullah, 32, meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan sementara kakaknya, Nooraliza, 43, membonceng motosikal mengalami kecederaan di dada, pinggang dan kaki kiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, Pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat berhubung kemalangan jalan raya yang berlaku di lokasi kejadian pada jam 7.05 petang membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.

Jelasnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi dua beradik itu dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria terbabit dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan melanggar pembahagi tengah jalan lalu memasuki jalan bertentangan terus merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan jalan basah,” katanya memetik laporan Awani.

Remaja perempuan itu bagaimanapun hanya mengalami luka di bahagian hidung selain pemeriksaan mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen dan sudah tidak bersekolah.

Katanya, mayat penunggang motosikal itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat manakala turut dihantar ke Unit Kecemasan hospital sama untu rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Anda Mungkin Berminat