Bapa tiri rotan anak sebab gagal jawab soalan matematik didenda RM10,000

Disebabkan gagal menjawab soalan matematik, seorang lelaki yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak berumur enam tahun didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Peniaga nasi lemak yang beruisa 38 tahun itu juga mengaku bersalah memukul kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu menggunakan rotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin,

Memetik laporan Harian Metro, kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Wangsa MajuKuala Lumpur pada pukul 6 pagi, 23 Jun mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Norina mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun serta menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim itu turut memerintahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Jun lalu, Bahagian Pasukan Sekolah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pergi ke sebuah sekolah rendah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian imunisasi vaksin untuk murid tahun satu di sekolah itu.

Jururawat bertugas dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan menemui kesan lebam pada bahagian lengan.

Pegawai perubatan bertugas membuat pemeriksaan lebih terperinci dan mendapati terdapat kesan parut berbirat pada pergelangan tangan, belakang badan berserta lebam di kaki.

Pegawai perubatan berkenaan bertanya kepada mangsa mengenai kecederaan itu dan mangsa sambil menangis menyatakan selalu dirotan oleh bapanya.

Doktor menghubungi guru kelas mangsa dan mencadangkan pihak sekolah melaporkan ke pihak JKM melalui Talian Kasih.

Ayah tiri dan ibu mangsa berkahwin pada 2020 dan pasangan itu berniaga nasi lemak.

Mangsa akan bangun pukul 5 pagi setiap hari untuk membantu bapa tiri dan ibunya membuat persiapan seperti mengelap telur, menyusun barang dan menutup lauk pauk.

Kejadian dilaporkan berlaku pukul 6 pagi, 23 Jun lalu, selepas mangsa membantu tertuduh dan ibunya sebelum membuat kerja sekolah.

Tertuduh mendekati mangsa dan mengajar mangsa berkaitan kerja rumah dan oleh kerana mangsa tidak faham, tertuduh marah sebelum merotannya.

Mangsa dihantar ke sekolah seperti biasa dan kelihatan sedih sebelum memberitahu dia dipukul ayahnya kerana tidak boleh menjawab soalan matematik.

Guru kelas mangsa meletakkan minyak pada lukanya dan beberapa pegawai JKM hadir ke sekolah itu serta membawa mangsa berjumpa doktor.

Hasil pemeriksaan, doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan ‘soft tissue injury over posterior left knee’ dan ‘posteriour right cart’ yang berpunca daripada rotan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

“Gelaran ayah bukan lesen untuk memukul mangsa sedemikian bagi tujuan mendisiplinkan mangsa. Mangsa beritahu ayahnya yang pukul dan hanya kesalahan matematik mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu.

“Mangsa memerlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah dan ibunya bercerai,” katanya.

Peguam, Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga dan isterinya yang juga ibu kandung mangsa kini sedang mengandung empat bulan selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Anda Mungkin Berminat