Nasional

Denda hingga RM5,000 sekiranya tidak lapor penderaan seksual terhadap kanak-kanak – Azalina

Individu yang mengetahui wujudnya perbuatan penderaan seksual terhadap kanak-kanak tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa boleh didenda hingga RM5,000 di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 1972).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, penguatkuasaan agresif dan tegas akan dilaksanakan termasuk mendakwa orang terdekat seperti guru atau jiran yang mengetahui jenayah itu menerusi Seksyen 19 akta berkenaan.

“Saya nak buat secara agresif sebab kalau jiran, ahli keluarga dan guru ambil sikap tidak mahu masuk campur ini akan membebankan kanak-kanak yang jadi mangsa kerana tidak ada orang nak melaporkan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan sistem eKlinik 6G di Putrajaya.

Menurut akta itu, mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan kesalahan tersebut, jika mangsa ialah seorang kanak-kanak, kepada pegawai di balai polis berdekatan, boleh disabitkan kesalahan dan didenda maksimum RM5,000.

Azalina berkata, beliau akan bertemu dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia dan pihak mahkamah berhubung penguatkuasaan sepenuhnya akta itu, serta Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi membincangkan usaha mewujudkan kesedaran dalam komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close