Malaysia akan menghantar kira-kira 50 tan barangan bantuan kemanusiaan ke Palestin selewat-lewatnya Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bantuan terdiri dari ubat-ubatan, barangan keperluan bayi, selimut dan makanan bernilai kira-kira RM7 juta menerusi Ops Ihsan itu adalah sumbangan dari pelbagai pihak.
Bantuan itu diselaraskan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Global Peace Misson (GPM) Malaysia, yang kini sedang menunggu kebenaran kerajaan Mesir untuk menghantar sumbangan tersebut melalui pintu sempadan Rafah di Mesir.
“Insya-Allah, apabila sampai di pintu sempadan Rafah, ia akan diselaraskan oleh NGO yang ada di sana untuk pastikan bantuan ini sampai kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya kepada media selepas melawat pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Palestin di gudang MAPIM di Sepang pada Isnin.
Pada sesi lawatan tersebut, Mohd Na’im turut menyerahkan sumbangan RM100,000 daripada Lembaga Tabung Haji kepada MAPIM bagi pembelian bekalan perubatan untuk rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mengambil kesempatan atas konflik pertempuran tersebut untuk menjalankan kutipan sumbangan.
“Saya beri peringatan ini sebab Allah SWT telah larang, jangan ambil harta orang lain secara batil (palsu). Jangan manipulasi kesusahan orang lain dan ambil peluang untuk buat apa-apa kutipan amal, tetapi guna dana untuk diri sendiri,” ujarnya.
Lintasan Rafah antara Palestin dan Mesir , satu-satunya pintu masuk ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel telah dibuka bagi membolehkan bantuan dihantar masuk ke Palestin.
Agensi Berita Palestin (WAFA) memaklumkan, kumpulan pertama bantuan kemanusian dari pelbagai negara telah masuk ke Gaza pada Sabtu.
Manakala kumpulan kedua konvoi bantuan membabitkan 14 trak dengan muatan peralatan perubatan, makanan dan air masuk ke Semenanjung Gaza pada Ahad malam.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 4,651 rakyat Palestin termasuk 1,903 kanak-kanak dan 1,024 wanita terbunuh manakala 14,245 lagi cedera sejak pertempuran terkini meletus pada 7 Oktober.