Nasional

Pembinaan plaza tol Genting Highlands perlu dapatkan kebenaran PBT

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menjelaskan sudah mendapat pengesahan berhubung pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang sejak 13 Oktober.

Namun projek pembinaan rumah tol tidak dimaklumkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Walau bagaimanapun, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri Pahang tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol ini.

“Oleh itu, arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh MBK agar pihak pemaju menghentikan sebarang usaha-usaha lanjut pembinaan sehinggalah pihak pemaju menghantar permohonan untuk diteliti sebelum dinilai dan diluluskan,” katanya yang mengambil maklum tentang isu tular itu.

Untuk rekod Genting Highlands merupakan tanah persendirian manakala jalan ke Genting Highlands diuruskan oleh pihak Genting Highlands sendiri.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.

Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close