Masalah bekalan gula dikatakan berlaku di Sarawak apabila ada pasar raya kehabisan stok barang keperluan itu pada Isnin.
Berdasarkan laporan Harian Metro, beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar raya Kuching mengalami kesukaran untuk mendapati bekalan gula.
Malah, terdapat juga pasar raya yang meletakkan notis kehabisan stok pada rak barangan.
Menurut seorang pekerja pasar raya di Matang Jaya yang enggan namanya didedahkan, mendakwa mereka tidak menerima bekalan gula sejak beberapa hari lalu.
“Masalah bekalan berterusan membuatkan kami mengehadkan hanya dua paket satu kilogram gula seorang.
“Ramai yang membuat pembelian selepas menyedari bekalan gula akan menghadapi masalah dan hari ini kami kehabisan stok,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Bujang mendakwa ada peniaga disyaki menyorok bekalan gula.
“Ada kedengaran harga gula akan naik, sebab itu ada peniaga menyorok bekalan itu dan hanya akan mengeluarkannya semula apabila harga dinaikkan nanti.
“Perkara ini bukan luar biasa, kerana sudah berlaku sebelum ini,” katanya.