Pelajar rugi RM13,180 termakan ‘janji palsu’ kerja sambilan dalam talian

Seorang pelajar pusat pengajian tinggi berputih mata apabila mengalami kerugian RM13,180 selepas menjadi mangsa penipuan kerja sambilan dalam talian di Sibu, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, berkata, mangsa dimasukkan ke dalam Kumpulan WhatsApp yang dipanggil ‘Wealth Wise Events Y12’ yang kononnya menawarkan kerja sambilan dalam talian.

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan dan dijanjikan wangnya akan dikembalikan kepadanya berserta komisen lima peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zulkipli, selepas berjaya menyiapkan tugasan diberikan, mangsa akan menerima komisen RM319.56 selain akan diarah untuk melakukan lebih banyak tugasan.

“Pada 22 Oktober lepas, mangsa telah membuat empat pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank tempatan berjumlah RM13,180 bagi tujuan menyempurnakan tugasan yang diberikan dan berharap mendapat komisen yang dijanjikan.

“Komisen itu katanya akan dikreditkan ke dalam akaunnya pada hari yang sama. Bagaimanapun, sehingga laporan dibuat, mangsa tidak pernah menerima komisen itu,” tambahnya.

Mangsa membuat laporan polis pada 22 Oktober.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.