Negeri

Polis rampas makanan sejuk beku guna logo halal palsu, lepasi tarikh luput di Sabah

Polis Sabah berjaya merampas makanan sejuk beku bernilai RM20.4 juta yang disimpan dalam dua gudang di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP, Datuk Shahurinain Jais serbuan terbabit dilakukan di Nambazan dan Jalan Penampang itu turut membongkar kegiatan penjualan makanan sejuk beku status halal yang diragui.

Katanya, makanan ini dipercayai berasal dari Brazil, Jerman, Poland, Sweden dan Australia dan kesemua negara ini tidak mematuhi piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siasatan mendapati beberapa makanan sudah tamah tempoh, tetapi masih dijual dalam pembungkusan dengan logo halal palsu,” jelasnya pada Isnin.

Mengulas lanjut, antara jenis makanan yang dirampas adalah ayam sejuk beku, itik, tulang lembu, kambing, sotong, dan bebola daging pelbagai jenama.

Pekerja gudang terdiri daripada 13 individu berumur 23 dan 38 tahun termasuk empat wanita disoal siasat.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat selain mereka didapati tidak mempunyai rekod lampau jenayah.

“Kami percaya terdapat banyak lagi sindiket kartel yang aktif di Sabah. Pasukan Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman sedang berusaha untuk menangkap dalang di sebalik kes ini.

“Aktiviti seludup sebegini menyebabkan ketirisan dalam negara membantutkan ekonomi dengan manipulasi harga bahan makanan,” katanya.

Shahurinain berkata, rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

Hukuman maksimum jika sabit kesalahan ialah denda RM50,000 dan penjara dua tahun.

Antara rampasan lain ialah empat lori, tujuh forklift dan satu set komputer. – Sabah News

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close