Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan seorang Ahli Parlimen dari Eropah bertindak mengusulkan sekatan terhadap Malaysia, ekoran kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak menghiraukan tindakan berkenaan, sebaliknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa tanpa rasa gentar.
“Ada ahli Parlimen Eropah yang bangkitkan. Ada yang usul langsung (sekatan terhadap Malaysia) daripada salah seorang ahli Parlimen Eropah.
“Ia tak jadi masalah (bagi pihak Malaysia). Kita jangan hiraukan soal itu (usul sekatan), kita ada urusan kerja dan kita teruskan.
“Kita terpaksa menyuarakan pandangan (berhubung penindasan Israel terhadap Palestin) daripada Malaysia,” katanya selepas melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya, hari ini.
Perdana Menteri dalam laporan sebelum ini berkata, beliau sedar dan menjangkakan ada tindak balas dari beberapa negara Barat berhubung kelantangannya dalam menyuarakan isu Palestin.
Namun, Anwar menegaskan beliau tidak sesekali khuatir, bahkan akan terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin pada peringkat antarabangsa.
Katanya, beliau tiada pilihan berhubung perkara itu kerana isu Palestin membabitkan soal kemanusiaan kerana penduduknya terus sengsara akibat penindasan dan kezaliman rejim zionis Israel.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan tidak takut dengan ugutan dan tekanan negara Barat kerana pendiriannya yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Susulan ugutan yang diterimanya itu, Perdana Menteri berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana yakin dengan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menguruskan hal itu.
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ada, mereka akan uruskan. Kita tak akan bimbang, akan teruskan kerja kita,” katanya.