Luah hasrat ingin bercuti ke London, pendakwaan bantah permohonan Muhyiddin dapatkan kembali pasport

Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendapatkan kembali pasportnya bagi membolehkan dirinya bercuti ke luar negara bersama keluarga serta menjalani pemeriksaan jantung di Singapura, pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memaklumkan perkara itu kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan yang dikemukakan.

“Pihak pendakwaan menerima notis permohonan (Muhyiddin) pada 17 Oktober lalu dan pihak kami membantah pada permohonan ini.

“Oleh itu, kami memohon satu tarikh untuk memfailkan afidavit jawapan dan memohon dalam tempoh dua minggu untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit itu,” katanya ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Muhyiddin bagaimanapun tidak hadir ke prosiding itu kerana kehadirannya dikecualikan.

Sementara itu, peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, pihaknya juga memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan dan memohon supaya tarikh pendengaran bagi permohonon pelepasan pasport itu ditetapkan pada 23 November ini.

Azura kemudian menetapkan 23 November untuk mendengar permohonan itu selain memerintahkan afidavit jawapan pihak pendakwaan difailkan pada atau sebelum 8 November manakala afidavit balasan pemohon difailkan sebelum 17 November ini.

“Mahkamah turut menetapkan 21 November bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis secara serentak sebelum tarikh pendengaran itu,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memfailkan notis permohonan bagi memohon untuk mendapatkan pasport antarabangsa beliau dilepaskan tanpa syarat (unconditionally) kerana beliau sudah membuat perancangan bercuti bersama keluarganya di luar negara.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis permohonan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, percutian itu penting untuk membolehkan beliau meluangkan masa bersama keluarganya memandangkan tahun ini adalah tahun yang sangat tertekan bagi diri dan keluarganya.

“Saya membuat perancangan untuk bercuti di luar negara bersama-sama dengan keluarga saya dan adalah suatu kebiasaan di mana saya akan membawa keluarga untuk bercuti selama sebulan pada setiap tahun.

“Perancangan untuk bercuti pada tahun ini adalah tidak terkecuali, saya ingin membawa keluarga saya untuk ke London, United Kingdom pada akhir tahun untuk bercuti.

“Saya difahamkan daripada ejen pelancongan saya bahawa ia adalah sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan serta mengaturkan perjalanan percutian untuk jumlah orang yang ramai secara sekali gus ke London, United Kingdom, terutamanya berdekatan dengan musim perayaan Krismas pada akhir tahun dan Tahun Baharu pada awal 2024,” katanya menerusi afidavit difailkan melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company pada 16 Oktober lalu.

Menurut Muhyiddin, beliau mengambil langkah berjaga-jaga untuk menempah tiket penerbangan untuk dirinya dan isteri terlebih dahulu sebelum ahli keluarga yang lain.

“Berdasarkan rujukan tempahan penerbangan oleh agensi pelancongan saya, saya akan mengambil penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Dubai pada 15 Disember 2023 dan akan singgah di Dubai sehingga 21 Disember 2023.

“Kemudian akan bertolak ke London pada hari yang sama dan seterusnya, saya akan berada di London pada 21 Disember 2023 sehingga 10 Januari 2024 dan pulang dari London ke Kuala Lumpur melalui satu penerbangan transit dari Dubai pada 11 Januari 2024,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berhasrat untuk menjalani pemeriksaan jantung melalui ujian stres jantung atas treadmill di Hospital Mount Elizabeth di Singapura. – HMetro

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button

Anda Mungkin Berminat