Nasional

Surat rasmi untuk kerajaan bukan dalam Bahasa Melayu tidak akan dilayan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sebarang surat rasmi oleh mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun swasta perlu dihantar dalam Bahasa Melayu.

Perdana Menteri berkata, surat terbabit akan dipulangkan semula jika menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu.

Katanya, ini sebagai langkah memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tekankan dalam dasar kerajaan, saya bincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jemaah Menteri, kadang-kadang ada kekeliruan.

“Memang kita tekankan dalam bahasa perdagangan adalah Bahasa Inggeris, tetapi ada sikap yang saya rasa terlajak, terpesong daripada beberapa jabatan, baik penjawat awam apatah lagi universiti (awam), universiti dan sektor swasta yang sering cuba meninggalkan asas Perlembagaan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam Bahasa Kebangsaan.

“Jadi saya ingin peringatkan hal ini, jika dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta, sesiapa saja menulis (surat) selain dalam bahasa kebangsaan, (maka) surat itu akan dipulangkan,” katanya berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – BH

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close