ATM cekup 6 PATI cuba masuk Malaysia

Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar masuk ke negara ini untuk mencari kerja tidak kesampaian apabila mereka berjaya diberkas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan Malaysia-Thailand, Tanah Merah, Kelantan pada Khamis.

Dianggarkan tangkapan tersebut berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam melibatkan PATI lelaki dan tiga wanita, lingkungan umur 27 hingga 38 tahun.

Dalam satu kenyataan, Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) memaklumkan, sepasukan anggota melajankan penugasan di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia mengesan sekumpulan PATI menyeberangi Sungai Golok dengan menaiki perahu.

“Pemeriksaan mendapati keenam-enam PATI merupakan warganegara Myanmar yang masuk ke negara ini dengan bantuan tekong untuk mencari pekerjaan.

“Anggota bertugas turut merampas enam buah telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia dan mata wang Myanmar iaitu Kyat,” katanya.

Dalam kejadian sama, seutas jam tangan dan barangan kemas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak lebih RM6,230 turut dirampas.

Kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

Anda Mungkin Berminat