Kerusi Parlimen Masjid Tanah kekal milik Mas Ermieyati

Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada Jumaat mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Katar yang menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

ada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) terhadap dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Mas Ermieyati bagaimanapun mengekalkan kerusi itu selepas mahkamah menolak petisyen berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu pada PRU15.

Namun Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati menang kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 4,411 undi selepas menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).

Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi manakala Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) untuk sekali gus menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga. – BH