Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan larangan untuk menggunakan sebarang replika menyerupai senjata, simbol atau ikon yang berpotensi mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
Dalam kenyataan, KPM bertegas bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme selain meminta agar institusi pendidikan sentiasa mematuhi dan mengikuti panduan ditetapkan.
“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, seyembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian.
“(Ini termasuk) kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial mengenai program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Bagaimanapun, KPM mengesahkan video tersebut dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan pihak kementerian.
“KPM menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November 2023 perlu dijadikan platform mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling menghormati.
“Ia bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat,” katanya.