Nasional

KKM sokong usaha kerajaan perkukuh perkhidmatan Pegawai Pemulihan Perubatan Audiologi

Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh perkhidmatan Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi)

Melalui satu kenyataan, KKM berkata, usaha itu termasuk meningkatkan bilangan pegawai di hospital pakar, menambah baik perjawatan Audiologis, menggalakkan usaha sama di antara agensi-agensi kerajaan dan swasta, serta memperluas perkhidmatan Audiologi di fasiliti kerajaan termasuk di fasiliti kesihatan primer.

Tambah kenyataan itu, Sehingga 2023, hampir 800 pakar dalam bidang masalah pendengaran, keseimbangan dan sistem saraf yang berkaitan itu sedang berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan awam dan swasta di seluruh negara dan daripada bilangan itu, 198 Audiologis bertugas di 48 hospital kerajaan.

“Dengan populasi rakyat Malaysia seramai 34 juta, nisbah Audiologis di Malaysia terhadap populasi terkini ialah 1:42, 500 dan bilangan ini adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan unjuran keperluan Audiologis terhadap populasi rakyat Malaysia iaitu 1:500,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut berkata, laporan perkhidmatan Pemulihan Perubatan (Audiologi) diperoleh dari 59 hospital KKM pada 2022 pula menunjukkan seramai 27,067 pesakit kes baru didiagnos mempunyai masalah pendengaran.

“Seperti yang diketahui, masalah keseimbangan yang dikawal oleh sistem vestibular dan keseimbangan tubuh mempunyai perkaitan rapat dengan deria pendengaran.

“Oleh itu sudah tiba masanya Audiologis untuk turut memfokus kepada diagnosis dan rehabilitasi masalah ini. Bukan hanya pada warga emas, tetapi saringan awal dari peringkat kanak-kanak lagi bagi menjamin kualiti hidup yang optima dalam kalangan masyarakat,” tambah kenyataan tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close