Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata hal ini memandangkan ketika ini, rata-rata peniaga menjual ayam jauh lebih rendah daripada harga siling ditetapkan sejak Februari 2022 iaitu RM9.40 sekilogram, selain jaminan pembekal bahawa bekalan sumber protein itu mencukupi buat masa ini dan masa hadapan.
“Oleh itu, kalau berlaku pengapungan kita berkeyakinan harganya tidak akan naik mendadak, ia akan stabil, kalau naik mendadak kita akan tanya kenapa, sebab bekalan cukup.
“Yang selalu naik mendadak bila bekalan tidak cukup, sekarang pihak pembekal jamin bahawa bekalan cukup dan kalau tak cukup kita siap sedia bawa dari luar dengan segera,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad berkata rasional penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.
Ditanya rasional subsidi dan kawalan harga telur masih diteruskan, Mohamad berkata jika subsidi berkenaan ditamatkan, harga telur dijangka naik lebih kurang 10 sen sebiji.
“Tapi penternak jamin mereka juga akan mencukupkan telur pada masa akan datang dan kerajaan akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata kerajaan boleh melaksanakan langkah intervensi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan ayam dijual pada harga tidak membebankan rakyat.
“KPDN akan menguatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan sekiranya ada perlakuan melanggar di bawah akta berkenaan tindakan akan diambil,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya harga sudah tidak terkawal dan terlalu membebankan, kerajaan boleh melaksanakan kawalan harga semula sama ada secara bersubsidi atau tidak bersubsidi.
“Itu mungkin langkah akhir, apa-apa pun kita akan pantau terlebih dahulu mulai 1 Nov, tapi kita yakin bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak.
“Mungkin ada tempat tertentu terutama di pasar raya pengguna boleh mendapatkan harga yang mungkin lebih rendah daripada harga kawalan sebelum ini,” katanya.
Sebagai langkah intervensi, beliau berkata KPDN juga merancang melaksanakan lebih 3,600 pusingan Jualan Rahmah di seluruh negara bagi tempoh November hingga Disember ini bagi menjual barangan keperluan rakyat pada kadar lebih rendah iaitu 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran. – Bernama