‘Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak’ – Sekolah kategori SKM di Sabah

Keadaan sekolah yang tidak memiliki bekalan elektrik dan akses komunikasi yang lemah membuatkan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Pensiangan, Sabah menghadapi kesukaran untuk menjalani sesi pembelajaran.

Terletak di kawasan pendalaman berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia, sekolah yang memiliki murid seramai 23 orang itu boleh dikatakan daif dan Sekolah Kurang Murid (SKM).

Malah, struktur bangunan kelas yang kelihatan usang dan dikhuatiri akan membahayakan keselamatan pelajar dan guru, selain beberapa kemudahan lain yang tidak disediakan.

Pengerusi Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) SK Saliliran, Angim Sulah, 48, berkata, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu turun padanga dan memberi perhatian kepada penduduk di kawasan pedalaman bagi memastikan warga setempat mendapat peluang pendidikan yang baik.

“Bagi saya, banyak kemudahan perlu disediakan untuk sekolah ini termasuk bekalan elektrik. Mungkin boleh menggunakan tenaga solar terutama untuk aktiviti pembelajaran pada waktu malam bagi murid yang tinggal di asrama.

“Disebabkan tiada lampu, aktiviti pembelajaran pada waktu malam tidak dapat dilakukan dengan kerap. Kadang-kadang terpaksa bergantung dengan lampu suluh. Begitu juga pada waktu siang, murid kurang selesa untuk belajar kerana terpaksa berpanas disebabkan tiada kipas,” katanya.

Tambahnya, kemudahan akses telekomukasi juga perlu dipertingkatkan, kerana dipercayai guru di sekolah bergantung kepada perkhidmatan jalur lebar kawasan luar bandar yang dibekalkan kerajaan.

“Tetapi ia agak terhad kerana hanya dibekalkan kuota sebanyak 5GB internet dan tidak mencukupi untuk kegiatan aktiviti pembelajaran murid di sekolah. Jadi kami berharap sekolah ini dapat diberikan perkhidmatan penyedia internet satelit yang lebih baik untuk kegunaan aktiviti pembelajaran dan tugasan murid.

“Sekolah ini ditubuhkan sejak tahun 1960-an lagi, jadi sudah tentu bangunannya ada yang mereput dan kelihatan usang. Demi keselamatan murid di sekolah, bangunan ini perlu diselenggara atau dibina bangunan baharu,” ujarnya.

Perkara lain yang menjadi kebimbangan penduduk di Kampung Saliliran dan sekitarnya sekiranya sekolah itu ditutup disebabkan murid semakin berkurangan susulan keadaan persekitaran tiada akses jalan untuk ke kampung itu.

Difahamkan SK Saliliran hanya mempunyai seramai 23 murid termasuk tiga daripadanya murid pra sekolah dengan sembilan guru yang mengajar di sekolah itu.

Terdapat seorang sahaja murid bagi tahun dua dan biasanya kelas mereka digabungkan bagi memudahkan guru mengajar.

Anda Mungkin Berminat