Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meluahkan rasa kesal terhadap tindakan individu yang memuat naik video mempromosikan hidangan babi di sebuah restoran makanan nasi kandar.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan turut menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar tempatan kerana umum mengetahui pengusaha restoran tersebut Muslim sejak puluhan tahun dahulu.
Katanya, hal itu turut dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna beragama Islam khususnya penggemar nasi kandar.
“PRESMA beranggapan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan serta penggemar nasi kandar di negara ini sekali gus memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai ini.
“PRESMA ingin menegaskan, hidangan nasi kandar di semua premis milik ahli PRESMA di seluruh negara dijamin halal dan bebas daripada bahan dilarang di dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam masa sama, PRESMA menasihatkan kepada semua pencipta kandungan supaya lebih sensitif dengan hasil kreatif yang dihasilkan.
“Kepada mana-mana pencipta kandungan perlu lebih sensitif dan perlu mengambil kira soal makanan yang selama ini dikaitkan dengan orang Islam,” katanya.
Video yang dimuat naik tular di media sosial dan kini sudah mencecah lebih 200,000 tontonan dan lebih 5,000 tanda suka.