Belajar ‘online’ buat duit palsu, 2 pengganggur dicekup

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah bidalan sesuai kepada dua penganggur berusia 28 dan 33 tahun yang ditahan ekoran dipercayai terbabit mencetak wang palsu RM100.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu pukul 4 pagi pada Ahad, polis merampas 27 keping wang kertas RM100 yang disyaki palsu.

“Turut dirampas dua unit telefon bimbit, satu komputer riba dan mesin pencetak, sebuah kereta Proton Saga dan peralatan membuat wang palsu.

“Kita dapati mereka belajar membuat duit palsu ini menerusi YouTube. Dua suspek ini mencetak serta menggunakan wang tunai RM100 palsu ini untuk kegunaan harian mereka.

“Suspek dipercayai aktif menggunakan wang palsu ini kedai-kedai daerah Dungun bagi mendapatkan tukaran wang tulen,” katanya.

Suspek juga menggunakan duit palsu untuk membeli rokok pasaran gelap bagi mengaburi mata peniaga.

“Kedua-dua suspek kini direman empat hari oleh Mahkamah Dungun bermula 29 Oktober hingga 1 November ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan (KK) kerana menggunakan wang sebagai tulen dan Seksyen 489D kerana memiliki peralatan membuat wang palsu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

“Dua suspek terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata pihaknya mahu menasihatkan orang ramai sentiasa peka serta memeriksa wang kertas diterima dan segera membuat laporan polis jika ada keraguan ke atas wang terbabit.

Mengikut rekod sepanjang tahun 2022 menerima 38 laporan membabitkan kes wang palsu manakala 31 laporan setakat tahun ini. – BH

Anda Mungkin Berminat