Nasional

Penamatan subsidi harga ayam dapat sokongan FLFAM

Keputusan kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa Rabu ini mendapat sokongan dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Penasihat Datuk Jeffrey Ng dipetik laporan media berkata, keputusan itu dijangka merancakkan sektor penternakan ayam pedaging dan menarik pelaburan asing ke dalam sektor berkenaan.

Ia secara tidak langsung menurutnya akan mengukuhkan rantaian bekalan ayam pedaging dan menyumbang secara positif kepada keselamatan makanan negara.

“Pengapungan harga ayam ini akan memberikan impak positif kepada industri termasuk dari segi menarik pelaburan ke dalam industri ini. Jika dulu dengan kawalan harga, mengakibatkan keuntungan kurang.

“(Jadi) Apabila ramai yang melabur, maknanya bekalan (ayam) akan jadi cukup,” katanya menurut Bernama.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin mengumumkan kerajaan telah bersetuju agar subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya.

Manakala subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Mohamad Sabu turut menjelaskan, rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi

Sementara itu, Jeffry berkata, pihaknya memberi jaminan untuk memastikan bekalan ayam pedaging dan telur yang mencukupi dengan harga berpatutan kepada rakyat Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close