PM ucap tahniah pemilihan Sultan Johor Agong ke-17

Kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus mendapat kesejahteraan dengan pemilihan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, Sultan Ibrahim seorang raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.

“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya berkeyakinan dengan pemerintahan Tuanku kelak dan Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran berpanjangan.

“Sembah takzim daripada saya dan seluruh ahli Dewan yang mulia ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Majlis Parlimen Ke-15 dan Ahli Parlimen Tambun menzahirkan ucapan tahniah atas pengisytiharan pemilihan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata, pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada hari sama.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Anwar berkata, Dewan Rakyat berikrar taat setia, selain turut menzahirkan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Anda Mungkin Berminat