Tarif elektrik baharu tetap beri manfaat kepada kepada golongan B40, M40

Tarif elektrik negara ini dijangka mengalami pelarasan lagi pada Januari hadapan susulan pelaksanaan subsidi bersasar.

Kerajaan turut memberi jaminan perkara itu tidak memberi kesan kepada pengguna domestik terutama dalam kalangan golongan miskin dan sederhana.

Pelarasan tersebut dibuat ekoran perubahan harga bahan api global melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang perlu dikaji pada Disember ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagaimanapun menegaskan, pelarasan itu dijangka hanya membabitkan golongan berpendapatan tinggi yang perlu menanggung lebih banyak kos supaya subsidi diberikan kerajaan boleh disasarkan hanya kepada golongan memerlukan.

Katanya, pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar akan ditambah baik dan diperluaskan lagi bermula tahun depan kepada pengguna domestik lain, berdasarkan tahap penggunaan elektrik dalam semakan tarif mengikut mekanisme ICPT.

“Melalui pelaksanaan ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan yang tinggi, akan mengalami peningkatan bil bulanan berperingkat.

“Walaupun sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka belum siap menjelang 1 Januari depan, namun kita sudah kena melihat apa yang perlu disesuaikan dalam tarif elektrik melalui ICPT akan datang.

“Kita akan tengok adakah pengguna yang contohnya bil mencecah RM500 sebulan ini kita akan laras dan lepaskan lebih banyak kos kepada mereka dan kurangkan subsidi kerajaan, mereka akan kena surcaj berdasarkan sistem sedia ada.

“Kita akan umumkan Disember nanti… dalam ICPT ada pelarasan tarif yang mana mereka yang kaya dan mampu, saya tidak kata sederhana tetapi yang kaya, mereka akan dikenakan tarif lebih tinggi, itu jangkaannya,” ujarnya.

Jun lalu, kerajaan mengumumkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj atau RM708 ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik sebaliknya hanya pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Selain itu, berdasarkan pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta kepada lebih 160,000 ketua isi rumah. – BH

Anda Mungkin Berminat