Hasrat seorang lelaki melarikan sebuah kenderaan yang dinaiki enam murid gagal apabila berjaya dipatahkan pihak polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Pinousuk, Kundasang, Sabah pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, anggota unit kereta peronda polis (MPV) Balai Polis Kundasang dengan bantuan orang ramai menahan suspek.
Kejadian tersebut turut dirakam dan tular di media sosial memaparkan suspek diberkas polis sementara kedengaran suara kanak-kanak yang menangis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung seorang lelaki yang melarikan kereta Proton Persona.
Katanya, lelaki terbabit juga turut membawa enam murid di dalam kenderaan berkenaan.
“Bagaimanapun, suspek diberkas dan polis turut menerima maklumat mengenai video tangkapan pihak polis ke atas suspek yang tular di media sosial.
“Polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Simiun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini bolehlah salurkan maklumat berkenaan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Baca juga: