Perintah DNAA Inspektor Sheila diketepikan

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) pegawai polis tular, Inspektor Sheila daripada satu pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Inspektor Sheila atau nama sebenarnya, Sheila Sharon Steven Kumar, 35, dengan alasan tuduhan berkenaan tidak dibacakan terhadap tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret, mengikut undang-undang.

Bagaimanapun tiga lagi tuduhan yang dibacakan terhadap Inspektor Sheila dan diambil pengakuannya pada 26 Jun lalu masih kekal dan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan selama tiga hari bermula 5 Februari tahun depan.

Difahamkan tuduhan yang tidak dibacakan itu berikutan terdapat masalah teknikal ketika kes didaftarkan di Mahkamah Majistret Selayang.

Pada 26 Jun lalu, pegawai polis wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang terhadap tiga pertuduhan ugutan dan mengaibkan anggota bawahan serta orang awam.

Dia didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sheila Sharon juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan ketiga, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat Lans Koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya. – HMetro

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat