PM luluskan PSKL 2040 untuk pembangunan Ibu Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) bagi memandu pembangunan Kuala Lumpur untuk tahun perancangan akan datang.

Setiausaha politiknya, Azman Abidin berkata pelan baru ini ialah yang ketiga bagi menggantikan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan pada tahun 2004.

“PSKL 2040 telah diluluskan oleh Perdana Menteri pada 4 Oktober 2023 dan telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.

“Berdasarkan peruntukan Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), pelan pembangunan (pelan struktur dan pelan tempatan) perlu disediakan mengikut tempoh jangka masa perancangan tertentu.

“Sekiranya tempoh masa pemakaian pelan-pelan pembangunan ini telah tamat tempoh maka pelan-pelan pembangunan perlu disemak semula sama ada membuat penambahbaikan atau penggantian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelan Struktur Kuala Lumpur yang pertama diwartakan pada tahun 1984.

Katanya, PSKL 2040 menetapkan visi Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar untuk Semua’, selaras dengan matlamat perancangan global yang ditetapkan melalui Agenda Perbandaran Baru (NUA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) yang dijangka dipamerkan pada hujung tahun 2023.

“Setelah PSKL 2040 diwartakan, maka PTKL2040) akan disediakan bagi menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).

“Sehubungan dengan itu, semua warga kota dan semua pihak berkepentingan akan dijemput untuk memberikan pandangan atau cadangan penambahbaikan agar dapat bersama-sama membangunkan Kuala Lumpur yang lebih mampan untuk semua,” katanya.

Baca juga: