Tentera Darat Malaysia terima aset pertahanan bernilai RM96.34 juta

Sebanyak 661 aset pertahanan bernilai RM96.34 juta diterima pada Majlis Penyerahan Aset Tentera Darat Malaysia (TDM) Siri 3/23 di Kem Perdana Sungai Besi, di Kuala Lumpur, semalam.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, keseluruhannya aset baharu diterima merangkumi pelbagai jenis kenderaan, bot, senjata, dan kelengkapan elektronik.

Menurutnya, perolehan aset yang dilakukan secara berperingkat itu bakal meningkatkan mobiliti elemen utama kesiagaan TDM dalam apa jua situasi.

“Antaranya trak tiga tan GS Kargo, sistem penerbangan tanpa pemandu (UAS), ambulans medan, kenderaan pembawa senjata (AGL), kenderaan operasi khas (SOV), bot gempur, treler bot dan bot getah.

“TDM turut menerima senjata mortar 60 millimeter (mm), night vision goggle (NVG) dan laser range finder (LRF),” katanya.

Menurutnya, perolehan yang dilaksanakan sejak awal tahun bagi memastikan kesiagaan TDM berada pada tahap tertinggi bagi mempertahankan kedaulatan negara selain memberi bantuan ketika bencana.

“Peningkatan kuasa tembakan ditingkatkan melalui perolehan mortar 60mm untuk memberi bantuan tembakan kepada platun infantri dan disokong oleh AGL.

“Peralatan elektronik NVG dan LRF digunakan sebagai alat membantu penglihatan di waktu malam, mendapatkan maklumat jarak dan mengenali sasaran dengan lebih tepat dan berkesan.

“Manakala UAS digunakan dalam operasi perisikan (surveillance) oleh Kor Risik Diraja,” katanya.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024, Muhammad Hafizuddeain mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan dana lebih banyak kepada TDM pada tahun hadapan.

“Kita dapat peruntukan lebih baik pada tahun hadapan dalam konteks pembangunan dan perbelanjaan mengurus, senarai aset itu kita memang sudah ada tetapi kita tidak akan buat perolehan secara semberono.

“Kita akan berpandukan plan strategik Army 4NextG demi siapkan angkatan untuk masa hadapan namun perbelanjaan itu akan dibuat secara seimbang (aset dan pembangunan),” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat