Azmir Saifuddin jadi CEO Finas baharu

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November sehingga 31 Oktober 2025.

Finas menyifatkan perlantikan Azmir itu bersesuaian dengan kriteria untuk menyandang jawatan tersebut berdasarkan pengalaman dan kelulusan Ijazah Pengkomputeran Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom.

“Beliau memulakan kerjaya di Bahagian Kreatif Multimedia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Base FX.

“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam industri kreatif, FINAS yakin Azmir mampu menggalas serta melaksanakan tanggungjawab untuk memacu industri filem Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Finas dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Azmir pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Finas antara Januari 2017 hingga 2019.

Terdahulu, Finas mengumumkan kontrak Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai CEO agensi itu tamat pada 1 Jun lalu.

FINAS dalam kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak Md Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.

Baca juga: