Kes tikam, langgar warga emas, suami isteri direman bantu siasatan

Pasangan suami isteri direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes langgar dan tikam seorang warga emas dalam kejadian di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu awal pagi Rabu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Suspek utama berusia 35 tahun bekerja sebagai peniaga manakala suspek kedua seorang mekanik berusia 37 tahun, ditahan oleh sepasukan anggota polis di sebuah kediaman di Wakaf Tapai, Marang pada Rabu.

Kedua-dua suspek ditahan susulan kejadian seorang pesara kerajaan ditemukan maut dengan kesan 15 tikaman pada badan dipercayai dibunuh rakan kongsi perniagaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa yang berusia 65 tahun itu dipercayai dilanggar oleh suspek yang juga rakannya berusia 35 tahun sebelum bertindak menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam longkang.

Katanya, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara kedua-dua wanita tersebut dimana suspek dan mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil agihan keuntungan perniagaan jualan pakaian yang diusahakan mereka.

Susulan pergaduhan itu, suspek yang berada di dalam kereta bertindak melanggar mangsa kemudian turun dari kereta dan menikam mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah van.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat