Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merancang untuk menubuhkan rangka kerja yang jelas untuk melindungi hak asasi manusia dalam konteks kecerdasan buatan (AI).
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, bagi mencapai keseimbangan antara faedah AI dan perlindungan hak asasi manusia adalah cabaran besar bagi kerajaan, organisasi dan masyarakat kerana hubungan tersebut adalah rumit.
Oleh itu, Lih Kang berkata, adalah penting untuk menggubal satu kod etika dan tadbir urus yang komprehensif bagi AI bagi memastikan mereka yang melanggar hak tersebut akan dipertanggungjawabkan.
“Usaha menyelaraskan kemajuan teknologi dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia bukan sekadar kewajipan moral tetapi juga keperluan praktikal untuk membina masyarakat yang adil dan saksama
“Adalah penting bagi kita untuk menubuhkan asas berdasarkan tadbir urus yang baik,” kata Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Pembela Hak Asasi Manusia (HRD) Asia ke-10, di Petaling Jaya pada Rabu.
Lih Kang sementara itu menekankan bahawa kerajaan akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan untuk mencipta landskap kondusif bagi individu dan pertubuhan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia secara aman.
“Walaupun kerajaan telah mengambil langkah yang besar untuk mempromosikan agenda hak asasi manusia Malaysia, adalah penting untuk mengakui bahawa cabaran dalam memenuhi kewajipan hak asasi manusia adalah tidak dapat dielakkan,” tambahnya.