Kerajaan meminta universiti awam di negara ini mematuhi ketetapan untuk mengehadkan yuran pendaftaran masuk tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, pihak kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pihak universiti yang melanggar arahan berkenaan.
“Bagaimanapun, saya percaya apabila ada arahan dan keputusan jelas, unversiti tidak akan melanggar arahan tersebut.
“(Kalau langgar) tunggu kementerian datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) anjuran KPT dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu.
Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula Januari tahun depan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.
Menurutnya, langkah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.