Genius matematik yang kisahnya pernah tular, Adi Putra Abdul Ghani mengakhiri zaman bujangnya bersama wanita pilihan, Siti Sarah Zulkarnain pada Jumaat.
Berita gembira itu dikongsikan bapa Adi Putra, Abdul Ghani Abdul Wahid menerusi hantaran di Facebook (Fb) miliknya.
“Sahlah Adi Putra sebagai Raja Sehari di Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
“Berkat doa dari tuan, puan, sahabat serta muridnya.. dengan lafaz nikah sekali saja dan kenduri pun berjalan lancar.
“Alhamdulillah cuaca pun baik di Kota Bharu hari ini, amin,” tulisnya.
Difahamkan, majlis pernikahan berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Lundang, Kelantan.
Adi Putra, 24, memberikan wang hantaran berjumlah RM9,999.99 kepada Siti Sarah, 27.
Sebelum ini, Adi Putra dan Siti Sarah mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.
Untuk rekod, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit).
Ketika berusia enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).
Baca juga: