Tidak kena penjara jika kenderaan bercermin gelap – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan tiada pemandu yang akan dihadapkan ke mahkamah atau dipenjarakan berikutan melanggar peraturan cermin gelap.

Katanya, perkara itu berpunca daripada kekeliruan yang berpunca daripada khabar angin melibatkan hukuman kesalahan terbabit di sosial media.

“Ada pelbagai pihak dalam media sosial cuba beri gambaran dengan mentafsir satu kenyataan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seolah-olah kalau pakai cermin gelap akan dipenjara.

“Itu tak betul. Memang dari segi undang-undang sekiranya mana-mana pihak tak patuh peraturan jalan raya, bila mereka diberi peluang untuk kompaun tetapi tidak melunaskan bayaran, maka boleh dibawa ke mahkamah.

“Itu peraturan umum untuk semua, bukan (kesalahan) cermin gelap sahaja. Hakikatnya, apa yang dilaksanakan sekarang adalah tindakan kompaun.

“Saya sudah dapatkan pengesahan JPJ, bahawa selama ini tidak pernah ada satu kes cermin gelap dibawa ke mahkamah. Begitu juga tak timbul soal salah guna cermin gelap akan dipenjarakan, tidaklah sampai ke tahap itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Loke berkata, kadar denda dikenakan bagi pelanggaran peraturan cermin gelap adalah RM100 sehingga RM250.

Pada 2019, katanya, MOT memberi kelonggaran dari segi kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan, antaranya kadar ketelusan cermin kenderaan bahagian hadapan ialah 70 peratus manakala cermin sisi kiri dan kanan pemandu sehingga 50 peratus boleh digelapkan.

“Cermin sisi belakang boleh gelap sepenuhnya. Kelonggaran itu antaranya berikutan cuaca panas walaupun ada yang tak setuju kerana jika berlaku kes jenayah, ia sukar dilihat.

“Kita ambil kaedah seimbang iaitu tidaklah gelap semua cermin kenderaan,” ujarnya.

Loke berkata, pindaan terhadap peraturan itu turut dibuat dengan meletakkan kuasa sepenuhnya kepada Ketua Pengarah JPJ.

Sebagai menteri, beliau enggan terbabit bagi mengelak timbul isu integriti jika ramai yang membuat permohonan.

“Saya serahkan kepada jawatankuasa dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ. Sesiapa yang layak boleh hantar permohonan untuk kelulusan.

“Ia bukan percuma. Misalnya, orang kaya yang ada isu keselamatan, bimbang diculik dan memerlukan cermin kenderaan mereka gelap sepenuhnya, jika diluluskan, caj dikenakan ialah RM5,000 untuk tempoh dua tahun,” terangnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat