Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan peruntukan tinggi untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 disebabkan wujud ketidakseimbangan pembangunan antara kedua-dua negeri itu dan Semenanjung.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata, situasi itu melibatkan perkara asas seperti kemudahan bekalan air, elektrik, jalan berlubang termasuk kemudahan yang amat daif di kawasan sekolah luar bandar selain pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Biar kita adil, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak itu memang tinggi, paling tinggi dalam sejarah, tapi apakah boleh selesai semua masalah? Tidak boleh, akan ambil waktu, kena adil, ada masalah air di Sabah, kita selesaikan, kita selesaikan juga di Kelantan, kalau kita kata Sabah ada masalah besar, kita tinggalkan Kelantan, tak boleh.
“Jadi dalam keupayaan kewangan ini kita harus cuba imbangi keperluan, cuma yang saya setuju ialah bahawa tumpuan kepada permasalahan kritikal di Sabah dan Sarawak tidak boleh ditangguhkan,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan hakikatnya peruntukan untuk semua negeri dalam Belanjawan 2024, termasuk di Kelantan ditambah dalam jumlah yang besar berbanding beberapa tahun lepas.
“Tak kira peruntukan tambahan lain yang kita tambah selepas ini, termasuk bekalan air untuk Sabah dan Kelantan, saya kena sebut Sabah terima RM6.6 bilion, berapa Perak? RM1.7 bilion, Sarawak RM5.8 bilion.
“Pahang? RM3.2 bilion, Kelantan? Sekarang RM2.8 bilion, Kedah naik RM1.8 bilion, semua negeri tanpa terkecuali, tapi untuk Sabah, Sarawak kita terikat dengan beberapa pemberian Persekutuan dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) sebab itu untuk 2024 pemberian Persekutuan untuk Sabah RM1.53 bilion dan Sarawak RM1.63 bilion,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar meluahkan pandangannya dengan bersetuju terhadap kenyataan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai pertambahan pemberian Interim kepada Sabah sebagai dana tambahan pembangunan negeri.
“Soal interim, betul, ia wajar ditambah dan sedang dalam rundingan, Sarawak sejak 1969 peruntukan RM16 juta tak pernah naik, hanya tahun ini dinaikkan RM300 juta, Sabah pernah naik pada 2020 kepada RM125.6 juta dan sekarang pun RM300 juta.
“Cuma pembayaran khas interim ini kali pertama Kerajaan Perpaduan lakukan, tak dibuat sebelumnya, kena akui, saya akui (wajar ditambah) tapi jangan lupa Pan Borneo itu kita lulus RM16 bilion belanja, penjanaan solar hibrid Sabah Timur selain jaringan talian penghantar elektrik di Selatan Sabah Southern Link.
“Jadi kalau kata masih kurang saya setuju tapi janganlah harap masalah tertunggak puluhan tahun boleh kita selesaikan dalam satu tahun,” kata beliau.
Anwar turut mengarahkan supaya program Rahmah di Labuan, Sabah dan Sarawak ditambah bagi memanfaatkan rakyat di negeri berkenaan yang terkesan dengan peningkatan harga barangan.
Baca juga: