Lat ‘Kampung Boy’ terima gelaran Seniman Diraja

Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat dikurnia Watikah Gelaran Seniman Diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Nazrin Muizzuddin Shah.

Anugerah itu disampaikan baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Lat, 72 ketika ditemui pemberita selepas menerima watikah gelaran itu menyifatkan ia sebagai satu penghargaan tinggi terhadap anak seni.

Anugerah berkenaan juga jelasnya akan menjadi inspirasi buat anak seni bukan sahaja kartunis untuk melahirkan karya demi negara.

“Semua cabang seni tidak kira sama ada muzik, filem, pelukis komik, penulis buku dan lakonan pentas bagaimanapun haruslah bekerja dan berbakti untuk negara.

“Saya juga berbangga dapat berbakti untuk Perak” katanya .

Lat yang terkenal dengan komik ‘Kampung Boy’ dilahirkan pada 5 Mac di Gopeng dan mula melibatkan diri dalam dunia lukisan kartun seawal usia lapan tahun.

Mula dikenali sebagai kartunis editorial yang menggarap tema sosiopolitik pada tahun 1975 menerusi ruangan “Scenes of Malaysian Life” dalam akhbar The New Straits Times (NST).

Sebelumnya pada tahun 1968, beliau memulakan siri kartun ‘Keluarga Si Mamat’ yang disiarkan dalam Berita Minggu yang disiarkan di akhbar itu setiap minggu sehingga tahun 1994.

Beliau merupakan pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada 2002 dan telah menerbitkan lebih daripada 20 jilid kartun.

Anda Mungkin Berminat