Malaysia sudah menghubungi beberapa pemimpin dunia Arab termasuk Turkiye dan Iran untuk mengadakan perbincangan berkaitan konflik kemanusiaan di Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau turut mengusulkan supaya pertemuan itu tidak dihadkan hanya kepada pemimpin negara Islam sebaliknya dibuka kepada negara lain seperti Brazil, Ireland, Russia dan China.
“Saya (pada) mulanya mengusulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin negara Islam kerana Brazil, Ireland, Russia dan China itu mempunyai pendekatan lunak, pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan.
“Tetapi apabila berbincang dengan pemimpin (ini), belum ada konsensus (untuk) membawa negara luar Islam.
“Jadi keputusan sekarang ini, yang bincang dengan Putera Mohammed bin Salman (Putera Mahkota Arab Saudi), Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan), ialah adakan (pertemuan dalam) tempoh segera, mungkin sehari dua ditetapkan beberapa tarikh mempertemukan pemimpin Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkembangan konflik di Palestin khususnya Gaza semakin mendapat perhatian masyarakat dunia terutama di Barat kerana belum pernah itu berkenaan dibahas secara terbuka.
“Perhimpunan dan unjuk rasa (tunjuk perasaan) ini besar sekali di Eropah,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bertemunya baru-baru ini turut mendukung supaya serangan di Palestin dihentikan.
“Dia (Rutte) ada maklum dua per tiga (rakyat Belanda) simpati kepada Palestin dan saya juga sudah minta (kepada Rutte supaya) disampaikan pandangan Malaysia kepada pemimpin negara Eropah lain juga,” katanya.
Baca lagi: