“Jangan bagi hint…” – Ruhainies minta terus sebut nama pelakon terlibat AMLA

Pelakon, Ruhainies menafikan tuduhan mengatakan dirinya terlibat dengan aktiviti Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) seperti yang didakwa pengguna media sosial melibatkan laporan mengenai selebiriti wanita terkait dalam siasatan pihak berkuasa.  

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyah, 31, meminta agar pihak yang berkenaan tidak memberikan petunjuk yang mengelirukan.

“Bila hint (gambaran) yang diberikan itu katanya artis berkulit gebu, bukan ramai sangat yang gebu. Mungkin ada 10 orang artis gebu jadi netizen buat spekulasi antara kami.

“Kalau boleh janganlah sekadar beri hint, sebut saja terus nama. Individu lain yang tak terlibat pun dah terkait sama,” katanya.

Pada masa sama, Ruhainies turut bersyukur apabila rezekinya dalam industri seni masih berjalan seperti biasa selain terbuka jika netizen ingin melakukan siasatan di media sosial terkait perkara itu.

“Sejujurnya semua orang pun tahu cara saya bekerja macam mana. Alhamdulillah back to back saya berlakon dan rezeki itu ada sahaja dalam industri seni ini.

“Tapi untuk sebarang tuduhan yang dibuat saya juga tidak dapat mengelak. Netizen boleh siasat sendiri rasanya,” ujarnya.

Terdahulu, heboh di media sosial mengatakan ada seorang artis wanita berkulit putih gebu didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM).

Difahamkan, artis wanita terbabit sering mempamer gaya hidup mewah di media sosial meskipun kerjaya lakonanya dikatakan tidak begitu hebat. – MStar

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat