Global

Malaysia bakal hadiri persidangan APEC, jaga hubungan diplomatik

Malaysia membuat keputusan untuk hadir pada Persidangan Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan bersidang di San Francisco, California, Amerika Syarikat, pada 11 hingga 17 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dibuat bagi menjaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun Malaysia tidak berganjak mempertahankan keadilan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Ada desakan sekarang ini supaya saya jangan ke APEC, saya bincang dan lihat pendirian semua negara. Setakat ini semua negara Asia dan negara APEC yang lain setakat yang saya tahu akan hadir.

“Jadi apakah oleh kerana kita tidak setuju dengan pendirian AS dalam isu ini (perang Israel-Palestin) kita tidak hadir kerana bagi saya keutamaan juga adalah menjaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan dan menyokong perjuangan hak Palestin.

“Setakat ini saya memutuskan untuk hadir persidangan APEC yang dihadiri oleh semua negara Asia atas undangan Presiden AS, Joe Biden ke San Francisco,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

APEC merupakan sebuah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989, untuk membantu semua negara terlibat memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin me­ningkat di Asia Pasifik.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close