Sarawak sedia terima input KPM untuk modul penilaian murid

Kerajaan Sarawak sedia menerima input daripada Kementerian Pendidikan (KPM) serta pihak lain yang memiliki kepakaran dalam menggubal modul sistem penilaian murid untuk Tahun Enam.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun pihaknya mencadangkan sistem penilaian itu diadakan semula, ia tidak akan dilakukan secara bersendirian.

Sebaliknya, beliau berkata pandangan pihak lain turut diutamakan bagi memastikan keberkesanan cadangan berkenaan untuk menilai prestasi murid.

“Kami tidak berlagak (apabila mencadangkan langkah memperkenalkan penilaian murid) dan tidak akan melakukannya sendirian.

“Tetapi kami juga menerima input daripada pihak lain terutamanya KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri, badan-badan perguruan serta pakar pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kolaborasi Industri-Akademia Peringkat Negeri di Kuching, Sarawak, pada Isnin.

Sagah berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak susulan kenyataan beliau berhubung cadangan itu, dengan sebahagian besarnya menyokong penuh agar ia dilaksanakan.

Malah, katanya, beberapa pemimpin politik di Sabah juga menyatakan kesediaan untuk turut melaksanakan langkah sama di negeri itu.

“Ini bukan bermaksud kami di Sarawak dan Sabah menjadi kumpulan pendesak dalam isu pendidikan, khususnya untuk melaksanakan semula penilaian terhadap murid Tahun Enam.

“Tetapi apa yang kami cadangan itu adalah demi kebaikan untuk mengukur prestasi sebenar murid sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sebab tanpa ujian kita tidak tahu tahap mana sebenarnya prestasi mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, ujian dicadangkan itu tidak akan merangkumi semua subjek seperti dilaksanakan melalui Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

“Apa yang kami cadangkan tumpuan penilaian dalam Bahasa Inggeris serta STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Ini kerana bidang itu paling penting sebagai penilaian untuk ke peringkat pengajian tinggi khususnya di luar negara,” katanya.

Sagah berkata, Sarawak sudah melaksanakan program dua bahasa (DLP) di sekolah rendah sejak empat tahun lalu, namun tanpa ujian, sukar untuk menilai keberkesanan program berkenaan.

Mengenai bengkel berkenaan, beliau berkata ia antara usaha untuk mencapai sasaran melahirkan 30 peratus atau 500,000 tenaga mahir di Sarawak bagi merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang dirangka kerajaan Sarawak. – BH

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat