Kumpulan XPDC tidak mengambil hati dengan kenyataan segelintir pihak yang mengatakan mereka masih membuat persembahan ‘biasa-biasa’ meskipun sudah lebih tiga dekad berada dalam industri.
Kata ahlinya, Zuar atau nama sebenarnya Azuar Mat Tasi, 57, mereka lebih senang memilih untuk menerima tawaran membuat persembahan di acara karnival berbanding konsert.
“Kami sentiasa ada tawaran persembahan. Sejak dahulu lagi, kami memang kumpulan mesra peminat. Pada kami muzik ini sudah menjadi pekerjaan.
“Kalau hendak tunggu konsert, setahun sekali jadi kami nak makan apa. Disebabkan itu kami ambil tawaran untuk membuat buat persembahan di karnival kerana menganggap ini sebagai satu pekerjaan juga.
“Kalau dulu kami main (persembahan) di funfair (pesta ria) sekarang kami main di karnival pula,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika ditemui pada sidang media Search Voyage Of Asia Edisi Selatan 2023 di ibu kota pada Selasa.
Tambahnya, cara itu secara tidak langsung dapat membantu golongan peniaga untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Ujarnya lagi, mereka akan memberikan bayaran persembahan yang berbeza berbanding konsert berskala besar.
“Kami sering memberi bantuan kepada peniaga Melayu yang ingin mengadakan karnival.
“Harga yang kami tawarkan juga berbeza kerana niat kami untuk membantu peniaga menarik lebih ramai pengunjung.
“Secara tidak langsung apabila ramai orang datang, perniagaan mereka juga akan mendapat untung,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zuar bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan peminat kepada mereka lebih-lebih dengan kehadiran vokalis baharu iaitu Ary.
“Sebenarnya dia sudah serasi dengan kami. Ketika Allahyarham Mael masih ada lagi, Ary sudah bersama dengan kami membuat persembahan.
“Kami dapat merasakan ada keserasian dengan dia (Ary). Ketika usaha pencarian vokalis XPDC Kita Peng Yu, Ary antara yang kami fikirkan.
“Sejak beberapa tahun lalu lagi Ary sudah membuat persembahan dengan kami dan dia juga pernah menggantikan Mael sekiranya, Mael tidak sihat,” katanya.
Konsert Voyage Of Asia Edisi Selatan 2023 bakal diadakan di Educity Sports Complex Johor Bahru, Johor pada 25 November depan.
Penganjuran konsert tersebut sempena meraikan Hari Rock Negara Edisi Selatan yang turut membariskan kumpulan Search.
Tiket konsert yang dibawakan oleh C&M Music Centre boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my bermula pada harga RM98 hingga RM398.
Baca juga: