Negeri

2 lelaki didakwa pecah masuk kasino Genting Highlands curi cip RM4.6 juta

Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong, Pahang pada Rabu atas pertuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip bernilai RM4.6 juta milik Genting Highlands Berhad, bulan lepas.

Koay Boan Seng, 32, dan Hoo Chee Chuan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Kedua-dua mereka didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas melakukan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda dengan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di dalam bilik Twlight 3, Sky Kasino Genting Highlands, pada 7.12 pagi, 28 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Kenny Tan Cheng Yee mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh pertama (Koay) yang merupakan pekerja kontrak berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia lima bulan.

“Tertuduh kedua pula (Hoo) bekerja sebagai penjaga kebun berpendapatan RM2,000 sebulan. Saya mohon mahkamah juga mengambil kira Koay yang menetap di Subang Jaya manakala Hoo di Raub (Pahang) tidak berisiko untuk melarikan diri,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Jan 2024.

Semalam, dilaporkan polis giat mengesan lima lelaki warga tempatan termasuk seorang yang dipercayai dalang utama dalam kes kecurian cip kasino itu yang dipercayai kecurian cip terbesar di pusat peranginan tersebut. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close