Kerajaan bakal umumkan skim gaji baharu penjawat awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun hadapan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memberitahu, beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 agar skim gaji baharu tersebut dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan.

Katanya, sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak mencecah masuk ke tahun ke-12.

“Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan (Kajian SSPA), kita akan lakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan merencanakan dasar yang jelas tertumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negara dalam usaha mengubah keadaan ekonomi Malaysia supaya ada anjakan. 

Anda Mungkin Berminat