Insiden pergaduhan antara peniaga di Medan Selera Laman Siti Khadijah di Kota Bahru, Kelantan berpunca daripada rasa tidak puas hati dan perebutan pelanggan.
Kejadian yang berlaku pukul 5 petang pada Isnin susulan pertengkaran membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita, disyaki pemilik serta pekerja masing-masing yang berlarutan kepada pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes itu pada hari sama.
“Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca dari isu berebut pelanggan di antara peniaga gerai makan di Laman Siti Khadijah.
“Kedua-dua belah pihak, pemilik premis berusia 30-an dan 40-an tampil ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan, tetapi beberapa jam kemudian, mereka menarik balik laporan terbabit dengan alasan ingin menyelesaikan perkara itu secara aman.
“Bagaimanapun kami tetap meneruskan siasatan dan akan mengesan serta menangkap suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika disabitkan dengan kesalahan, kesemua yang terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Video berdurasi 1 minit 22 saat mengenai pergaduhan itu tular sejak petang semalam dan berdasarkan itu, Mohd Rosdi berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana kejadian yang berlaku menjejaskan keamanan masyarakat.
“Tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan sendiri bukan penyelesaiannya kerana kesan pergaduhan itu menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.
“Pihak polis akan terus menjalankan siasatan dan tindakan susulan bakal diambil kerana tidak mahu orang ramai terbiasa dengan tindakan sendiri yang membelakangi peruntukan undang-undang semasa,” katanya.
Baca juga: