Pejuang Hamas pada Rabu mengumumkan mereka sudah memusnahkan 136 kenderaan tentera Israel sejak operasi darat dimulakan di Gaza.
Menurut jurucakap, Abu Ubaida, dalam ucapan yang disiarkan dalam media antarabangsa, TV Al-Aqsa, memberitahu, pihaknya sudah memusnahkan perisai milik Israel sama ada secara penuh atau sebahagian daripadanya.
“Israel menghalang pembebasan tahanan asing kami dengan mempergiatkan serangan udara serta melakukan pembunuhan beramai-ramai, kerana mereka menghalang pembebasan 12 daripada mereka hanya beberapa hari lalu,” katanya.
Mengenai kemungkinan pertukaran banduan, beliau berkata pendekatan perjanjian mereka adalah untuk menukar banduan sama ada secara keseluruhan atau berkumpulan secara berperingkat.
“Kami mempunyai tahanan wanita, warga emas dan mereka yang kurang sihat di penjara pendudukan, sama seperti mereka mempunyai tahanan daripada kategori yang sama,” ujarnya.
Ketika Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, Hamas menawan kira-kira 242 warga Israel untuk pertukaran berpotensi sebagai balasan kepada kira-kira 6,000 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel, menurut statistik rasmi.
Sebagai protes, waris tahanan Israel menuntut kepulangan segera keluarga mereka dan sering menyuarakan kemarahan kepada kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. – Agensi
Baca juga: