Bomoh didakwa rogol remaja 15 tahun hingga hamil

Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Rabu atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang gadis berusia 15 tahun sehingga mengandung, tahun lalu.

Tertuduh Zemi Rahim, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, tertuduh didakwa melakukan kontak fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dengan menyentuh kemaluan mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala bagi tiga lagi pertuduhan lain, tertuduh didakwa merogol mangsa sama dalam tiga kejadian berasingan pada November 2022 serta April dan Julai 2023.

Justeru, tertuduh yang juga jurulatih Muay Thai didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik air sebuah rumah dalam daerah Pagoh, Johor antara November 2022 hingga Julai 2023 lalu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Daniel Munir tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.

Katanya, hubungan antara tertuduh dan mangsa adalah sebagai pengamal perubatan dan pesakit yang mana perbuatan terkutuk tertuduh itu telah menyebabkan mangsa hamil empat bulan.

Bagaimanapun ujarnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM7,500 bagi setiap pertuduhan serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak berkomunikasi dengan mangsa.

Hakim Irwan kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan dan membenarkan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan lantikan peguam.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan mencabul seorang pelajar perempuan lain dengan alasan untuk membuang ‘pendamping’. – Sinar Harian

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat