Sukan

36 pasukan bola sepak Borneo berentap rebut Piala Datuk Hassan Sani 2023

Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Datuk Hassan Sani 2023 yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA),di padang Dataran Labuan pada 10 hingga 12 November ini, bakal disertai 36 pasukan.

Pasukan itu merangkumi 21 pasukan yang mewakili Sabah, enam dari Labuan, empat pasukan Sarawak manakala Brunei menghantar lima pasukan untuk merebut piala berkenaan.

Presiden LAFA, Sophian Said berkata acara itu boleh dikatakan sebagai kejohanan bola sepak antara Borneo kerana ia mengumpulkan pasukan dan peminat bola sepak dari pelbagai lokasi di pulau Borneo.

“Acara itu menjanjikan bukan sahaja perlawanan yang mendebarkan, tetapi juga suasana yang meriah kerana peminat berkumpul untuk menyokong pasukan dan pemain kegemaran mereka,” katanya.

Tambah Sophian, dijangka kira-kira 1,000 pengunjung dari Sabah, Sarawak dan Brunei akan hadir ke acara itu, sekali gus menjadikan Labuan sebagai pusat tumpuan bola sepak dan pelancongan.

Beberapa personaliti bola sepak terkenal juga, katanya akan ditampilkan untuk memeriahkan kejohanan, antaranya bekas pemain kebangsaan Matlan Marjan dan Jelius Ating serta bekas pemain Sabah Harun Laban, Redzuan Aman Khan, Henry Saimpon, Jekrison Kilan dan Ravi Chandran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata acara itu akan memberi impak positif kepada landskap sosioekonomi Labuan.

Untuk rekod, Datuk Hassan Sani adalah tonggak skuad bola sepak kebangsaan yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close